RM116.1 bilion FDI di Johor
- Utusan Malaysia
- May 8, 2017
- 2 min read

ISKANDAR PUTERI 7 Mei - Sokongan padu kerajaan Pusat merupakan antara faktor penting berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini serta melonjakkan Johor sebagai destinasi pelaburan terkemuka dalam negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil sokongan dan inisiatif Kerajaan Persekutuan menghasilkan pelaburan mencecah RM30 bilion dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang oleh Aramco dari Arab Saudi.
Menurutnya, mengikut data permohonan FDI, dari tempoh 2012 hingga tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara pelaburan asing dan domestik membabitkan jumlah permohonan yang berjaya ditarik sebanyak RM116.1 bilion.
“Daripada jumlah ini, RM71.7 bilion adalah daripada pelabur dalam negeri manakala selebihnya permohonan pelaburan asing bagi tempoh lima tahun tersebut.
“Faktor lain yang melonjakkan pelaburan asing adalah kemudahan infrastruktur yang lengkap di negeri ini selain disokong sektor dan aktiviti ekonomi tempatan yang kukuh,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang meminta penjelasan berhubung perancangan strategik kerajaan negeri menarik FDI dan soalan Mohd. Azahar Ibrahim (BN-Tenang) mengenai faktor dalaman serta luaran yang mendorong kejayaan misi pelaburan.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, komitmen kerajaan negeri dalam mengemas kini dan mengembangkan teknologi turut menjadi tarikan kepada pelabur.
Menjawab soalan tambahan Ayub, Mohamed Khaled menjelaskan, kerajaan negeri akan mengambil perhatian terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar khususnya mengenai jenis pelaburan yang akan dibawa masuk ke negeri ini.
“Pelbagai faktor kita beri perhatian termasuklah yang memberi kesan tidak baik kepada penduduk dan kawasan sekeliling.
“Dalam soal ini, kerajaan negeri mampu membuat pilihan selektif terhadap pelaburan di Johor dan akan mengambil kira jika ada jenis pelaburan membawa kemudaratan,” katanya.
Comments