EDL & SDE Ambil Kira Pendapat Kerajaan Negeri
- Utusan Malaysia
- Jun 20, 2017
- 1 min read

Kerajaan Pusat perlu mengambil kira pendapat dan pandangan kerajaan negeri sebelum mengambil sebarang langkah pemulihan melibatkan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu perbincangan dua hala perlu diadakan antara kedua-dua pihak terbabit agar keputusan dibuat memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
Katanya, pihaknya maklum pemegang konsesi EDL dan SDE berhadapan risiko muflis dan kerajaan Pusat mengambil serius akan perkara tersebut dan bakal merangka strategi pemulihan.
“Saya yakin kerajaan Pusat memberi perhatian tentang perkara ini dan meminta untuk diadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.
“Ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang akan diambil tidak merugikan rakyat Johor,” katanya
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini memberitahu syarikat konsesi bagi EDL dan SDE berhadapan risiko muflis ekoran kekurangan trafik di laluan berkenaan.
Mohamed Khaled berkata, pihaknya mengambil berat berhubung langkah yang akan diambil kerajaan Pusat membabitkan EDL dan berharap pihaknya akan mempunyai suara dalam menyelesaikan situasi yang berlaku.
“Berhubung SDE pula, YPJ Holdings Sdn. Bhd. memiliki pegangan 30 peratus dan kami bersedia untuk melepaskan pegangan itu kepada kerajaan Pusat.
“Ini kerana sejak laluan tersebut dibuka kepada umum, kita tidak pernah menerima keuntungan dan dividen daripadanya,” ujarnya. -UTUSAN
Comentários