Syarikat Jepun melabur RM2 bilion di Johor
- Berita Harian
- Jul 24, 2017
- 1 min read

JOHOR BAHRU: Johor terus menjadi tumpuan utama pelabur asing apabila Jepun dijangka memuktamadkan pelaburan bernilai hampir RM2 bilion membabitkan empat syarikat dari negara itu di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengetuai delegasi kerajaan negeri ke Jepun bagi memuktamadkan pelaburan berkenaan.
Johor Corporation (JCorp) sebagai konglomerat kerajaan negeri meneruskan peranannya menjadi penyumbang dalam menarik pelaburan ke Johor.
Mohamed Khaled berkata, dengan kredibiliti yang ada pada JCorp, beliau yakin pelaburan ini akan mampu dimuktamadkan.
"Menerusi pelaburan ini, ia semestinya dapat memberi manfaat limpahan ekonomi kepada rakyat Johor khususnya bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan yang berkaitan.
"Keyakinan syarikat terkemuka dari negara luar seperti ini yang terus menyatakan hasrat melabur di Johor membuktikan bahawa mereka mempunyai kepercayaan dengan potensi yang ada di negeri Johor," katanya
Beliau yang juga Pengerusi JCorp berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan pelabur berpotensi dan sedia ada di Tokyo, di sini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Presiden serta Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, pelaburan itu akan membabitkan sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia dan berasaskan polimer yang strategik untuk pembangunan di Johor.
"Dengan pelaburan ini, jelas menggambarkan usaha JCorp selama ini dipandang tinggi oleh pelabur besar dari negara luar sehingga kita terus diberi kepercayaan oleh mereka.
"Sebagai konglomerat kerajaan negeri, JCorp akan terus komited dalam usaha menarik pelaburan luar ke negeri ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Johor sebagai kuasa baharu ekonomi negara," katanya.
Comments